Artikel Umum - Artikel Pilihan
Dalam usaha membangunkan Kerajaan Elektronik seiring dengan aliran teknologi maklumat dan komunikasi, Human Resource Management Information System (HRMIS) atau Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia telah merintis satu perubahan ke arah kecemerlangan pengurusan sumber manusia sektor awam.Lakaran pemodenan yang dicetus HRMIS, telah membawa sistem pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan awam, ke arah yang lebih cekap dan berkesan. Sistemnya yang bersepadu, dimudahcarakan oleh teknologi yang menggabungkan amalan terbaik pergurusan sumber manusia.
Bayangkan, jika sebelum pembangunan HRMIS dimulakan, laporan-laporan statistik mengenai pengurusan sumber manusia terpaksa dilakukan dalam tempoh satu hingga tiga minggu tetapi dengan pelaksanaan HRMIS, ianya berjaya dilaksanakan hanya dalam tempoh satu minit hingga ke 24 jam.
Biarpun HRMIS dimulakan sebagai antara projek perintis aplikasi perdana Kerajaan Elektronik di bawah Projek Koridor Raya Multimedia (MSC), namun aplikasi ini telah berjaya mengangkat sistem pengurusan sumber manusia sektor awam ke satu tahap yang lebih efisien.
Hari ini, kita dapat lihat bagaimana HRMIS telah berjaya mengumpul lebih 1.2 juta rekod perjawatan sektor awam (tidak termasuk Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia) yang melibatkan sebanyak 720 agensi sektor awam.
Malah, pengurusan maklumat di peringkat agensi pusat kini juga dapat menjalankan tindakan proaktif yang mana semua agensi sektor awam dapat menjalankan pengemaskinian data secara berterusan. Semua urusan sumber manusia sektor awam dari mula seorang penjawat awam dilantik ke perkhidmatan awam, pengesahan dalam perkhidmatan, penempatan, kenaikan pangkat, pengurusan prestasi, kompetensi, latihan, pengurusan kerjaya, faedah, ganjaran dan saraan sehingga beliau bersara boleh dibuat secara dalam talian melalui HRMIS.
Pada masa yang sama, surat pengesahan diri dan pengakuan pegawai secara elektronik (eGL) dapat dilaksanakan di semua 136 hospital kerajaan seluruh negara untuk kakitangan awam serta ibu bapa dan anak-anak masing-masing.
Selepas sepuluh tahun melalui pelbagai cabaran dan dugaan, HRMIS hari ini telah diiktiraf sebagai satu aplikasi yang amat berkesan sehingga ianya telah dipilih ke pusingan akhir bagi Anugerah Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Public Service Award), di New York, Amerika Syarikat pada tahun 2009. Semoga aplikasi HRMIS dapat terus dipertingkat bagi memastikan pengurusan sumber manusia dalam Perkhidmatan Awam terus menghasilkan pekerja yang mahir dan cekap."
| < Sblm | Seterusnya > |
|---|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
| LAMAN WEB BTP |
PORTAL HRMIS |
PORTAL E-PRESTASI |
PORTAL NKRA |




























